Teknologi perternakan Ketam Nipah kini semakin di pertingkatkan.
Scylla serrata atau ketam nipah adalah haiwan dari jenis krustacea iaitu bercangkerang seperti udang. Ia juga dikenali sebagai ketam bakau atau ketam lumpur dari keluarga Portunidae.
Secara semulajadi ketam hidup serta membiak di sekitar paya bakau, kuala sungai, tepi pantai atau laut, dalam air payau atau air masin mengikut masa air pasang dan surut.
Menternak ketam menggunakan kolam atau 'membintur' begitu popular terutama di Malaysia, Thailand dan Indonesia. Kolam-kolam dibuat sekitar paya bakau atau berdekatan dengan laut kerana memerlukan air payau atau air masin. Namun teknik ini memerlukan kawasan yang luas.
Proses menggemukkan memerlukan bekas khas untuk mengisi benih ketam secara berasingan kerana ketam adalah dari spesies yang ganas, karnivor dan tahan lasak serta akan memakan sesama sendiri apabila lapar.
Ketam nipah membiak secara bertelur dan boleh membesar sehingga karapasnya mencapai 20 sentimeter atau lebih iaitu dengan berat badan melebihi satu kg (kilogram) hingga empat kg seekor.
Ketam nipah boleh diperolehi dalam tiga warna iaitu hijau, coklat dan merah. Ketam tersebut mempunyai potensi dalam bidang industri perikanan terutamanya kegiatan separa kultur.
Ketam ini mengandungi sejenis protein yang tinggi serta merupakan penawar denggi yang sangat mujarab. Ia didapati boleh membantu pembinaan semula platelet darah yang hilang akibat virus denggi. Pengambilan sup ketam sebagai terapi oral iaitu dimasak sebagai sup (500ml hingga 1 liter) akan meningkatkan bacaan platelet dengan kadar yang sangat cepat.
Kenali ketam nipah
Lazimnya sepit ketam jantan adalah lebih besar dari saiz badannya berbeza pula dengan ketam betina yang mana saiz badannya lebih besar dari sepit. Ketam warna merah selalunya mendapat permintaan yang lebih tinggi disebabkan isinya lebih padat dibandingkan dengan ketam yang berlainan warna.
Kebanyakan haiwan krustasea memerlukan proses bersalin kulit bagi pembesaran dan melengkapkan kitar hidupnya. Proses bersalin kulit dari kulit lembut kepada keras memerlukan lebih kurang 24 jam.
Teknik merangsang ketam bersalin kulit memerlukan masa ternakan antara tiga dan empat minggu bagi setiap kali bersalin kulit. Ia dilakukan dengan mengerat semua kaki dan sepit ketam atau dikenali sebagai teknik limb autotomy.
Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180gm dan ia menjadi cabaran utama sebelum cengkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.
Ketam yang bersalin kulit perlu diasing bagi mengelakkan ia dimakan ketam lain memandangkan kulitnya yang lembut. Ketam aktif dan agresif pada waktu malam dan ketam betina lebih sensitif dari ketam jantan.
Cara baru ternak ketam
Cara terkini untuk menternak ketam adalah dengan menggunakan sistem akuarium fiber secara tertutup. Sistem ini amat ringkas dan sesuai kerana kadar asid, alkali serta ammonia dalam air mudah dikawal.
Ia boleh ditempatkan di mana-mana saja asalkan ada kawasan yang bertutup iaitu beratap, berdinding dan mempunyai punca elektrik.
Ukuran bagi satu set sistem ini adalah tiga kaki (lebar) x 13 kaki (panjang) x 5 kaki (tinggi) mengandungi tiga kotak fiber.
Kotak-kotak fiber disusun bertingkat melalui rak besi serta saluran paip bagi air masuk dan keluar. tiga kotak fiber yang teratas adalah bekas yang mempunyai petak-petak untuk diisi dengan benih ketam. Sekotak kotak fiber boleh memuatkan 40 ekor benih ketam.
Ini bermakna satu set sistem ini boleh memuatkan 120 ekor ketam. Sekotak kotak fiber yang di bawah sekali adalah digunakan sebagai sistem penapis bagi keseluruhan set sistem ini.
Selain air laut, air paip yang telah diproses bagi menggantikan air masin atau air payau juga sesuai untuk ketam nipah. Sistem ternakan ketam dalam tangki ini tidak memerlukan pengorekan kolam-kolam seperti ternakan lain.
Salah satu kebaikan sistem ini iaitu penggunaan sistem tertutup recirculating water system dimana air paip yang digunakan untuk ternakan ini dikitar semula setelah melalui proses pembersihan/penapisan air mengunakan biofilters.
Sistem ini didapati sangat hygienic dan dapat memenuhi piawaian antarabangsa berbanding dengan sistem ternakan ketam secara konvensional.
Air
Proses penyalinan kulit hanya akan berlaku sekiranya air kolam benar - benar bersih dan air yang kotor boleh menyebabkan ketam mudah dijangkiti bakteria.
Kawalan kualiti air dilakukan dari masa ke semasa dengan memastikan parameter air pada saliniti 30 bahagian perseribu (ppt), oksigen terlarut lebih 5 ppm, suhu antara 28-30 °C dan pH (kemasaman) antara 6.5 hingga 7.5.
Penggunaan efektif mikrob (EM) atau probiotik boleh digunakan untuk mengawal mutu air. EM aktif juga berkebolehan meneutralkan air (neutralizesalts) dimana bertindak sebagai klorinator semulajadi dan menghalang pembentukan lapisan kristal di permukaan air.
Kadar dos adalah 1:10000, iaitu satu bahagian EM (probac) bagi setiap 10000 bahagian air. Dos ini disaran untuk diberikan bagi setiap minggu.
Makanan
Manakala dari segi pemakanan untuk ternakan ketam, penggunaan ikan baja antara yang paling sesuai untuk memenuhi diet pemakanan ketam di mana sebanyak antara lima dan enam peratus daripada berat badannya diberikan setiap hari.
Disiplin pemberian makanan perlu dititikberatkan kerana ketam yang lapar boleh menyerang antara satu sama lain. Selain ikan baja, ikan yang disiang (buang kepala, ekor dan isi perut dan dihiris atau dipotong dan dibasuh) diberikan satu atau dua atau hari hari sekali (mengikut kesesuaian dan bacaan air dalam set sistem akuarium ini).
Ketam nipah memerlukan lebih kurang 52 kg ikan (untuk 120 ekor ketam kulit keras) sebulan dan 96.43 kg ikan (untuk 360 ekor ketam kulit lembut) sebulan.
Ternakan secara sistem tangki tertutup ini mempunyai risiko penyakit yang rendah dan jarang dijangkiti penyakit. Kebanyakan penyakit berpunca dari kebersihan dan kualiti air yang kurang baik. Oleh itu pengawalan mutu dan kualiti air sangat dititikberatkan.
Kematian juga berlaku semasa dan selepas proses bersalin cengkerang, pemantauan perlu dilakukan pada waktu tengah malam hingga awal pagi antara pukul 11 malam hingga 3 pagi secara lebih teliti.
*Petikan dari Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment