New York 4 Oktober - Laman sosial Facebook hari ini mempunyai lebih satu bilion pengguna, sekali gus mencatat sejarah bagi rangkaian sosial terbesar dunia itu.
Pengasasnya, Mark Zuckerberg yang mengumumkan perkara itu menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian yang luar biasa.
"Saya sangat berterima kasih kepada anda semua kerana memberi peluang kepada saya dan pasukan kecil saya untuk berkhidmat dengan anda.
"Membantu menghubungkan satu bilion orang merupakan perkara yang hebat dan membanggakan dalam hidup saya," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam wawancara bersama program NBC Today, Zuckerberg berkata, pencapaian Facebook itu sukar dipercayai.
"Untuk terus bekerja pada setiap hari dan membina sesuatu yang boleh membantu menghubungkan satu bilion orang adalah perkara yang sukar dipercayai," katanya.
Menurut kenyataan beliau, angka satu bilion pengguna aktif Facebook setiap bulan itu dicapai pada 14 September lalu pada pukul 12.45 tengah malam (3.45 petang waktu Malaysia), termasuk 600 juta pengguna yang melayari laman sosial itu menggunakan telefon bimbit.
Jun lalu, Facebook mempunyai 955 juta pengguna termasuk 543 juta pengguna telefon bimbit yang melayari laman sosial tersebut.
Lima negara paling banyak menggunakan Facebook ialah Brazil, India, Indonesia, Mexico dan Amerika Syarikat. - AFP
No comments:
Post a Comment