Monday, 30 January 2012

Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) diberi penerangan mengenai produk yang dihasilkan oleh peserta lepasan PBU sambil diperhatikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (kanan).
 
Bidang keusahawanan terbukti mampu memberikan pulangan lumayan kepada mereka yang menceburinya.
 
Namun, rata-rata masyarakat masa kini kurang yakin terhadap bidang ini di samping tidak mempunyai ilmu yang lengkap mengenainya.

Ada yang berminat tetapi ilmu tidak cukup. Ada pula terpaksa berputus asa berhenti separuh jalan gara-gara ketiadaan pengalaman.

Sebab itu Jabatan Pertanian merintis jalan membuka peluang kepada golongan belia dan beliawanis menceburkan diri dalam bidang perniagaan melalui Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan.

Menurut Timbalan Pengarah, Seksyen Industri Asas Tani, Bahagian Pengembangan Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian, Faridah Aini Muhammad, kursus tersebut diperkenalkan mulai 2002.

Ia bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan keusahawanan.

"Ia juga bertujuan untuk mendidik mereka agar berupaya menguruskan perusahaan makanan berasaskan pertanian secara serius bagi memenuhi permintaan makanan berproses yang semakin meningkat," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Bimbingan Usahawan (PBU) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Faridah Aini, kursus tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknik pemprosesan produk makanan dengan memberi penekanan kepada aspek Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Ia bagi menjamin tahap keselamatan produk yang dihasilkan yang merupakan prasyarat kepada Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Antara yang dipelajari adalah pelbagai produk sejuk beku seperti karipap, roti canai, donat, kuih kasturi, roti bom dan produk bakeri seperti roti, kek, pastri serta biskut.

Selain itu, peserta juga berpeluang mempelajari cara menghasilkan produk berasaskan buah-buahan antaranya kelapa seperti kerisik, santan, dodol, seri kaya, biskut kelapa, pes rendang dan gula-gula kelapa.

Terdapat juga pelbagai produk hasilan buah-buahan seperti jem buah-buahan, kordial, puri, ban, kek buah, buah bersalut serta pelbagai produk makanan ringan seperti kacang bersalut, buah rotan, kuih tiram dan popia mini.

Untuk melengkapkan kemahiran pengurusan dan jaminan ke atas produk proses yang dihasilkan, peserta turut dilatih dalam aspek keusahawanan.

"Ia meliputi aspek pengurusan perniagaan dalam skala yang kecil, pengurusan kewangan, pemasaran, keupayaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan penyediaan rancangan perniagaan yang betul," katanya.

Jangkamasa kursus ialah enam bulan. Sesi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei hingga November tahun ini.

Program tersebut melibatkan pelbagai aktiviti dan terbahagi kepada lima modul utama iaitu empat minggu pertama peserta akan dikumpulkan di PBU di Serdang, Selangor.

Kemudian peserta akan di hantar ke PBU yang terdapat di seluruh negara mengikut kursus yang ditawarkan bagi menjalani modul amali, kelas serta latihan amali selama lapan minggu.

Setelah menjalani pelbagai teori, kelas serta praktikal, peserta akan diberi peluang melaksanakan projek usahawan secara berkumpulan di PBU masing-masing selama lapan minggu juga.

Menurut Faridah Aini, apa yang menarik. peserta bebas menentukan produk dan kaedah perniagaan yang ingin diusahakan.

"Mereka akan diberikan modal permulaan membabitkan bahan mentah, peralatan dan khidmat nasihat kemudian akan mula menjual serta memasarkan produk mereka secara sendiri. Biarpun mereka akan bergerak sendiri namun perjalanan projek tetap akan dipantau oleh pegawai jabatan bagi memastikan ia berjalan lancar," katanya.

Peserta juga bebas untuk menentukan lokasi jualan. Malah jika ingin mendapatkan keuntungan lebih peserta juga boleh menggunakan segala peralatan di PBU masing-masing pada bila-bila masa.

Malah, keuntungan yang diperoleh semasa menjalankan projek praktikal tersebut boleh diambil oleh peserta untuk kegunaan mereka sama ada sebagai simpanan mahupun sebagai modal untuk memulakan perniagaan apabila tamat berkursus.

Biarpun ia hanya merupakan projek berkumpulan ketika berkursus, namun ada kumpulan peserta sebelum ini pernah mencatatkan keuntungan sehingga puluhan ribu ringgit biarpun hanya dalam masa dua bulan (lapan minggu projek) sahaja.

"Malah, ada di antara mereka sendiri tidak mempercayai dengan pulangan lumayan yang mereka peroleh," katanya.

Setelah berjaya menjalankan projek berkumpulan tersebut selama satu minggu, peserta akan diperkenalkan bersama pihak swasta, syarikat serta agensi yang berkaitan perniagaan serta keusahawanan.

Ia bertujuan untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang perjalanan sektor keusahawan secara realiti dan hands on.

Pada minggu akhir ini juga turut diadakan pertandingan mencipta resipi dan majlis penyampaian sijil.

Tambah Faridah Aini, sejak kursus tersebut diwujudkan sambutan orang ramai adalah amat menggalakkan.

Kadang-kala untuk satu-satu sesi kita menerima sehingga 300 permohonan namun hanya terdapat 70 atau kurang kekosongan yang boleh diberikan.

"Justeru kita perlu melaksanakan temuduga dan memilih mereka yang benar-benar berminat untuk menjadi usahawan, ini kerana kos yang ditanggung kerajaan untuk melaksanakan kursus ini juga amat tinggi," katanya.

Jelas Faridah Aini, kos bagi seorang peserta mampu mencecah sehingga RM10,000 atau pun lebih bagi satu-satu sesi selama enam bulan.

Bagi keseluruhan kursus, Jabatan Pertanian membelanjakan jutaan ringgit. Justeru, bagi pihak kami, pemilihan adalah berdasarkan kepada mereka yang menunjukkan minat yang mendalam didalam bidang ini serta berpotensi untuk menjadi usahawan apabila tamat berkursus.

"Semuanya telah tersedia secara percuma, terpulang kepada mereka-mereka yang benar-benar berminat untuk menyertainya serta bercita-cita untuk menjadi usahawan berjaya," katanya.

No comments:

Post a Comment