Sunday, 27 November 2011

Strategi Biomas Negara

Malaysia merupakan pengeksport minyak sawit terbesar dunia mengeluarkan bahan sampingan organik atau biomas sawit mencecah 80 juta tan metrik setahun.

Menyedari hakikat bahawa menjana kekayaan menerusi biomas sawit, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) sebagai agensi yang dipertanggungjawab mengadakan kerjasama 20 agensi kerajaan, 20 badan swasta, 10 universiti tempatan dan institusi penyelidikan awam bagi membangunkan Strategi Biomas Negara (SBN).

Naib Presiden Eksekutif, Ketua Impak Strategik - Penjanaan Kekayaan, AIM, Bas Melssen berkata, Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara mengadakan strategi seumpama itu.

SBN dijangka dapat menjana pendapatan daripada biomas sawit sekali gus meningkatkan ekonomi negara pada masa akan datang.

Biomas adalah bahan sampingan yang didapati selain daripada minyak sawit.

Menurut Melssen, strategi berkenaan bertujuan memberikan nilai tambah yang tinggi kepada biomas sawit bagi mewujudkan industri bernilai tinggi seperti biofuel, bioplastik dan biokimia yang menghasilkan barangan kegunaan harian.

Biomas sawit hanya digunakan sebagai baja, makanan ternakan, kayu serta bahan bakar dan selebihnya dibuang serta menghasilkan gas rumah hijau yang boleh memupuskan lapisan ozon dunia.

Melssen berkata, AIM sentiasa berusaha untuk menjana kekayaan daripada biomas sawit.

"Sebagai contoh biomas boleh diubah secara kimia dan bioteknologi bagi menghasilkan bahan bernilai tinggi seperti bioplastik atau biofuel yang boleh dijual dengan harga lebih tinggi," katanya.

Pendekatan berkenaan bagi memastikan pihak industri akan terus menggunakan biomas pada masa akan datang dan tidak memasarkannya ke negara luar.

Melssen berkata, dengan adanya SBN, ia dapat menghalang biomas terus dieksport dengan harga murah.

Buat masa ini walaupun teknologi belum dikomersialkan, tetapi kerajaan perlu menyediakan persekitaran yang kondusif apabila teknologi telah sedia untuk digunakan.

"Pihak industri pula perlu mengetahui peluang yang ada bagi tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

Melssen menambah, langkah tersebut secara tidak langsung akan dapat membangunkan industri berkaitan dan memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

Dari aspek inovasi, biomas berpotensi mencipta industri bernilai tinggi dengan modal insan berkemahiran bagi menghasilkan produk berdaya saing.

Apa yang lebih penting pelaksanaan SBN menjadikan negara sebagai pemimpin teknologi tulen biomas di rantau Asia Tenggara.

Ini selaras dengan teras kedua Strategi Inovasi Nasional yang menggalakkan Inovasi Terbuka iaitu satu mekanisme pengumpulan dan penstrukturan ilmu pengetahuan yang dapat mengenalpasti peluang baru untuk penjanaan kekayaan.

Di bawah teras ini, pendekatan model Quadruple Helix diterapkan berasaskan prinsip bahawa industri, akademik, rakyat dan kerajaan mempunyai peranan yang sama berat untuk menggalakkan inovasi di dalam negara.

Apabila semua pihak bekerjasama, inovasi akan dapat dihasilkan dengan lebih baik.

Buat masa ini AIM terlibat aktif dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Felda, Sime Darby, pekebun kecil, pengilang minyak sawit, universiti, institusi penyelidikan dan kementerian berkaitan bagi mengkaji peluang berkaitan biomas sawit.

AIM juga bekerjasama rapat dengan Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu) untuk mencapai objektif Strategi Biomas Negara. Ini bertujuan memberi peluang bagi industri membuat keputusan tepat dengan peluang yang diberikan.

Pada hari ini AIM akan melancarkan SBN sempena BioMalaysia 2011 bertujuan memberi penerangan kepada umum mengenai biomas dan peranan yang perlu dimainkan oleh sektor yang terlibat dalam menjayakan strategi berkenaan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AIM boleh melayari laman web http://www.inovation.my/

No comments:

Post a Comment