Wednesday, 23 November 2011

MARDI Giat Ganda Dorper

Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006.

Sejarah biri-biri di negara ini bermula sejak 50 tahun lalu. Tetapi biri-biri yang biasa terdapat di negara empat musim tidak sesuai dengan persekitaran negara yang panas dan lembap.

Ketika itu banyak biri-biri di negara ini yang berpenyakit malah mati akibat tidak dapat bertahan dengan cuaca di negara ini.

Pada awal tahun 1980-an, penternak menternak biri-biri baka rerambut seperti Barbados, Black Belly, Santa Ines, Bali-Bali, St. Croix dan Novada yang sesuai dengan keadaan cuaca tropika kerana tidak mempunyai bulu yang tebal.

Baka rerambut (Hair sheep) seperti Barbados Black Belly dan Bali-Bali dapat bertahan tetapi sukar didapati kerana hanya terdapat di negara asalnya kepulauan Barbados dan Afrika Barat selain kos pengangkutan yang tinggi serta regulasi gen yang terkawal ketika itu.

Bagaimanapun selepas berakhirnya rejim Aparteid, baka kambing dan biri-biri Afrika Selatan telah mula dibawa keluar seperti kambing baka Boer dan biri-biri baka Dorper ke Australia dan dibiakkan dengan cepat.

Kambing dan biri-biri dibawa ke Australia dalam bentuk ternakan hidup (diawal pengimportan), embrio dan semen sejuk beku.

Dorper banyak didapati di Australia tetapi di sana juga terdapat baka Merino dan kacukan Dorper Merino yang tidak sesuai diternak di negara ini kerana mempunyai bulu yang tebal dan tidak tahan ketegasan haba.

Timbalan Pengarah Pusat Pemindahan Teknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Mohmad Mustafa berkata, Dorper yang dikacukkan dengan Damara dipanggil Damper lebih sesuai dibanding dengan Dorper Merino kerana kedua-dua baka asal adalah biri-biri rerambut.

“Biri-biri Dorper mula dibawa masuk ke negara ini pada tahun 2006 dan dikacukkan dengan biri-biri tempatan bagi meningkatkan berat badan dan prestasi sehingga 30 peratus.

“Pada 2008, MARDI telah membawa masuk 300 ekor biri-biri Dorper tulen dari Afrika Selatan bagi menguji kesesuaian baka terhadap persekitaran di negara ini,” katanya yang menjalankan penyelidikan kambing dan biri-biri lebih 20 tahun.

Kajian yang dijalankan selama tiga tahun mendapati Dorper sesuai diternak di negara ini memandangkan kadar kelahiran dengan kenaikan berat badan yang tinggi, kadar kematian rendah sementara ketahanan terhadap penyakit.

Pada tahun yang sama Projek Agropolitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pekan, Pahang telah membangunkan ternakan biri-biri Dorper bertujuan menjana ekonomi Orang Asli.

Fasa pertama telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 4 Ogos 2008 dengan kemasukan 960 ekor Dorper kacukan betina dan 40 ekor jantan tulen.

Manakala fasa kedua pula pada 24 Februari melibatkan 2,800 ekor Dorper kacukan.

Dianggarkan tahun ini 6,000 ekor biri-biri Dorper akan ditempatkan di sana selain pihak MARDI akan terus memperkenalkan biri-biri berkenaan kepada penternak.

Sehingga kini terdapat tiga orang penternak yang mula menternak biri-biri Dorper secara komersial sejak tahun lepas. Satu daripadanya ialah Ladang Semosa.

MARDI bercadang membangunkan ladang pengganda Dorper berasaskan teknologi bagi penternak terpilih seperti yang telah dijalankan untuk baka Boer.

Dr. Mohmad giat menjalankan penilaian baka untuk mengeluarkan baka yang tidak produktif bagi memulakan pembiakbakaan dengan pejantan Dorper tulen.

Biasanya 20 peratus ternakan akan dipilih bagi dijadikan baka. Ladang Semosa akan dibangunkan bagi menghasilkan baka biri-biri Dorper dan ternakan yang tidak sesuai dijadikan baka akan dijual untuk sembelihan.

Beberapa data awal menunjukkan peningkatan berat badan yang baik antara 200 hingga 300 gram sehari seekor.

Makanan dengan formula sendiri menggunakan campuran herba dan hampas soya dapat membantu meningkatkan prestasi berat badan serta mengurangkan kos makanan.

Sebenarnya ramai penternak terpaksa gulung tikar kerana bergantung dengan makanan ternakan atau palet yang sangat mahal.

No comments:

Post a Comment