Tuesday, 25 October 2011

Internet Perluaskan Pemasaran Produk

Para peniaga kini perlu mempunyai kemahiran menggunakan Internet dan menggunakan sebaiknya platform tersebut untuk memasarkan produk serta membawa imej perniagaan masing-masing kepada kumpulan sasaran.

Menurut Konsultan Perniagaan Internet, Uzaidi Udanis, Internet kini dilayari oleh segenap lapisan masyarakat dan boleh dilakukan di mana-mana sahaja melalui perkembangan teknologi prasarana seperti jalur lebar dan juga kepelbagaian gajet mudah alih.

Jelas beliau, situasi itu harus digunakan sebaiknya oleh golongan peniaga dan tidak mengharapkan bentuk pengiklanan yang tradisional.

"Pada zaman ini, jika seseorang ingin mendapatkan satu produk, tindakan seterusnya adalah dengan menaip nama produk tersebut di enjin pencarian di internet seperti Yahoo atau Google.

"Sebarang bentuk urusniaga sekalipun kini menggunakan Internet, contohnya bank menyediakan transaksi secara talian, pembelian tiket kapal terbang, malah jualan barangan yang sukar dicari sekali pun boleh diselesaikan melalui internet," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Uzaidi bersama rakannya, Zamiel Zukie dan beberapa lagi yang berkemahiran mengendalikan pelbagai aplikasi Internet kini mengusahakan satu bentuk perniagaan dengan menawarkan kursus kepada orang ramai berhubung kaedah perniagaan dalam internet, sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, antara pihak yang pernah menjemputnya adalah dewan-dewan perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan serta syarikat korporat.

"Kami akan mendedahkan kepada mereka teknik bagaimana untuk menyerlahkan produk perniagaan mereka.

Contohnya, jika sesuatu produk tersebut ditaip pada enjin pencarian, maka laman sesawang syarikat itu akan terpapar pada halaman utama.

"Pihak kami turut mengkaji bagaimana bentuk perniagaan yang mereka jalankan dan memberi pandangan apa yang mereka perlu lakukan untuk orang ramai mengenali mereka dan seterusnya menjadi setia kepada produk mereka," katanya.

Katanya, perkara ini amat penting kepada sesiapa khususnya yang menjalankan perniagaan melalui blog atau laman sosial yang sedia ada.

Beliau berkata, khidmat kumpulannya juga pernah digunakan oleh beberapa syarikat korporat yang sering dikaitkan dengan berita yang negatif.

"Kami membantu mereka bagi menaikkan imej syarikat di Internet. Apabila nama syarikat itu ditaip, tidak lagi hanya memaparkan unsur negatif semata-mata," katanya.

Uzaidi menggelarkan konsep perniagaanya sebagai 'Vacasia Transformasi Media'. Selain daripada itu, pihaknya juga turut mewujudkan rangkaian kenalan menerusi beberapa laman sesawang sosial seperti Facebook dan seringkali menganjurkan bual bicara bersama tokoh terkenal dalam negara bersama rakan-rakan daripada internet.

"Kumpulan kami menganjurkan sebuah program dinamakan sebagai Teh Tarik Bersama YB dengan menjemput pelbagai ahli politik bagi bersemuka dengan rakan internet kami," ujarnya.

Antara yang pernah dijemput adalah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan juga Artis terkenal, AC Mizal.

No comments:

Post a Comment