Bunga kertas boleh mencantikkan kawasan persekitaran.
Namun sifat dan daya ketahanannya tidaklah seperti kertas. Itulah bunga kertas atau nama botaninya bougainvilla, yang dinamakan sempena Antoine de Bougainvilla.
Komander Laut Peranchis yang dikatakan orang pertama yang menemui bunga kertas.
Dipercayai berasal dari bahagian selatan Amerika, bunga kertas sering menjadi pilihan tanaman landskap, sebagai hiasan, bonsai, topiary, hiasan memanjat pergola dan seringkali digunakan sebagai pokok pagaran.
Bukan sahaja kerana warna dan rupa bentuknya yang sungguh asyik mata memandang tetapi sifatnya cukup senang dijaga membuatkan bunga kertas menjadi penyeri laman yang popular di segenap kawasan dari kota metropolis sehinggalah ke pedalaman desa.
Pembiakan
Cara yang biasa digunakan ialah secara keratan batang dan cantuman baji.
Keratan batang
Langkah 1
- Potong bahagian berkayu lembut iaitu sepanjang 10-15 sentimeter (sm) dari bahagian pucuk atau sejengkal setengah.
- Pastikan pisau yang digunakan adalah tajam, sebaik-baiknya gunakan scateurs. Potong secara 45 darjah atau secara serong. Setelah potong buang semua pucuk dan tinggalkan daun sebanyak dua atau tiga helai.
- Sapukan bahagian yang telah dipotong tadi dengan hormon penggalak akar. Contohnya seradix.
- Semai dan siram. Pada peringkat permulaan elakkan dari terkena cahaya matahari secara terus. Siram secara konsisten.
Cantuman baji atau istilah yang lebih popular digunakan ialah "kahwinkan" pokok bunga kertas yang biasanya dijalankan untuk menghasilkan pokok bunga kertas pelbagai warna pada satu pokok sahaja.
Peringatan, proses in harus dilakukan di awal pagi atau pada waktu petang. Elakkan membuat cantuman pada tengahari atau pada hari panas terik bagi menjamin kejayaan cantuman.
Langkah 1
- Pilih ranting yang hendak dicantumkan (scion). Buang semua daun pada bahagian yang hendak dicantumkan itu. Belah lebih kurang satu inci.
- Bahagian cantuman ini akan tumbuh sebagai ranting baharu.
- Belah pokok penanti. Saiz belahan hendaklah sama dan sesuai dengan ranting yang hendak dicantumkan tadi. Belahan dilakukan di bawah bahagian mata tunas.
- Terus cantumkan bahagian ranting yang dibelah tadi kepada pokok penanti. Dilakukan semasa getah masih belum kering. Faktor ini akan menentukan kejayaan cantuman.
- Dengan berhati-hati balut cantuman tadi dengan parafilm atau sealing film bertujuan untuk memperkukuhkan lagi cantuman tersebut.
- Gunakan plastik lutsinar atau plastik aiskrim untuk membalut bahagian cantuman tadi.
- Masukkan bermula daripada bahagian atas hujung cantuman dan seterusnya ikat. Biarkan selama seminggu atau dua minggu.
- Tujuan ini adalah untuk mengelakkan kehilangan air yang berlebihan.
- Juga buang semua daun pada bahagian batang pokok penanti. Daun baharu akan tumbuh pada bahagian ranting yang dicantumkan tadi.
Memerlukan saliran yang baik. Campuran terbaik ialah tanah bakar: baja organik: pasir sungai. Atau sebarang tanah campuran bersaliran baik atau poros sesuai untuk bunga kertas.
- Sebelum mengisi tanah campuran ke dalam pasu, letakkan batu-batu pecah atau pecahan pasu bagi menutup separuh daripada lubang pasu, kemudian letakkan bahan organik dan boleh juga dimasukkan baja tahi ayam yang telah diproses. Letakkan setebal dua inci.
- Sentiasa gemburkan kerana pokok bunga kertas memerlukan pengudaraan yang baik.
- Siram dengan jumlah air yang sederhana. Cukup sekadar membasahkan media pasuan. Elakkan siraman sehingga air keluar secara berlebihan melalui lubang pasu.
- Aktiviti pemangkasan hendaklah dilakukan secara berterusan bagi memastikan pengeluaran pucuk baharu dan juga pengeluaran bunga. Pemangkasan juga penting untuk membuang ranting-ranting yang berpenyakit dan mewujudkan aliran udara yang baik.
- Baja dengan menggunakan baja organik dan baja kimia.Bagi baja organik kekerapan adalah dua minggu sekali manakala bagi baja kimia sebulan sekali. Boleh guna baja butiran biru dan merah yang mempunyai unsur K yang tingi. Biasanya sebanyak 25gm setiap pasu atau satu sudu makan.
- Memerlukan cahaya matahari penuh. Elakkan persekitaran yang lembap. Pengudaraan persekitaran yang tidak baik akan menyebabkan penyakit yang disebabkan oleh kulat dan bakteria.
No comments:
Post a Comment