Saturday, 3 September 2011

Kerepek Tanjung Sepat ke Australia


Ketika pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) sibuk membuat kuih dan kerepek bagi memenuhi permintaan menjelang perayaan, lain pula dengan Siti Noraini Markom, 50.

Dia yang dikunjungi rombongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di premisnya di Kampung Kundang, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor, bersama-sama suaminya, Mohd. Noor Sukimi sibuk memunggah produk IKS keluaran syarikat mereka untuk dihantar ke Australia.

Mengapa sampai ke Australia? Kenapa tidak di pasaran tempatan?

“Sekarang banyak sangat usahawan IKS yang membuat kerepek dan pasaran di sini tidak terlalu besar. “Jadi apa salahnya saya mencuba rezeki di Australia. Saya merancang untuk memasarkan produk saya ke Filipina selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Bekas kerani pejabat swasta di pekan Banting itu memulakan usahanya dengan menjual biskut bangkit kelapa resipi arwah ibunya.

“Sememangnya kuih bangkit buatan ibu memang sedap sehingga saya mengambil keputusan membuat dan menjualnya semasa musim perayaan,” katanya.

Ketika itu, dia membeli ketuhar bagi menghasilkan biskut bangkit kelapa sebelum membeli dapur gas yang kecil.

Bagaimanapun Siti Noraini terfikir sampai bila dia akan berniaga secara bermusim. Justeru, dia mula menjual kuih bangkit kelapa dan menjualnya dengan berbasikal sekitar kampung, kantin sekolah dan kedai runcit.

Perniagaan itu terus berkembang dan kesibukan menguruskan perniagaan berseorangan memaksanya menggaji dua orang pembantu dan membuat jadual penghantaran apabila 300 buah kedai runcit mula menerima kuih bangkit kelapa buatannya.

Walaupun masih bekerja sebagai kerani di syarikat swasta di Banting, Siti Noraini tidak melepaskan peluang menghadiri kursus keusahawanan anjuran pelbagai jabatan kerajaan.

Beliau mahu mendalami aspek perniagaan dan keusahawan termasuk pemasaran dan perhubungan dengan pelanggan sebelum pergi lebih jauh.

Setelah enam tahun bekerja dan perniagaannya mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan, Siti Noraini mengambil keputusan nekad meletakkan jawatan.

“Ketika itu saya mengembangkan perniagaan dengan membuat pelbagai jenis biskut dan kerepek serta menjual produk usahawan lain,” katanya.

Berkat kegigihan dan kesungguhan membangunkan perniagaannya, dia sudah mula melihat bibit kejayaan.
Sejak penglibatannya dalam IKS, Siti Noraini menerima pelbagai anugerah seperti Peladang Jaya, Tokoh Usahawan Wanita Selangor dan Belia Jaya.

Malah, usahanya menarik minat pelbagai agensi kerajaan yang tampil memberikan bantuan dalam pelbagai bentuk selain khidmat nasihat.

Sentiasa mengingati arwah ibunya dalam kejayaan yang dikecapi, Siti Noraini yakin segala kejayaan berkat doa ibunya.

Dalam pada itu Siti Noraini sentiasa menanamkan pelbagai impian seperti kerepek di dalam kanister ketika usianya 35 tahun.

“Alhamdulillah saya mencapai sasaran yang saya tetapkan sendiri,” katanya. Permintaan kerepek ubi, pisang tanduk dan keledek yang semakin menggalakkan menyebabkan Siti Noraini memerlukan bekalan bahan mentah yang banyak.

Malah pada masa yang sama, seorang usahawan dari Australia berminat untuk memasarkan kerepeknya ke Australia dan New Zealand.

Selain negara berkenaan Siti Noraini juga telah berjaya menghantar produknya ke Hong Kong, Jakarta dan Singapura.

Selepas musim perayaan, Siti Noraini akan menerbangkan kerepeknya ke Filipina yang mempunyai pasaran yang lebih besar.

“Masalahnya bagi pasaran luar negara, kami perlu memastikan kualiti dan kapasiti produk yang konsisten setiap kali penghantaran.

“Misalnya bagi ke Australia saja saya perlu menghantar kerepek ubi bagi memenuhi hampir satu kontena sepanjang 20 kaki,” katanya.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah terutama dari luar negara, Siti Noraini perlu berubah daripada peralatan menggoreng manual ke separa automatik.

“Ini bagi mempercepatkan lagi proses penghasilan produk tetapi saya tidak boleh berkompromi dengan kualiti produk yang saya hasilkan,” katanya.

Selain menerima tempahan, Siti Noraini juga membawa produknya ke ekspo-ekspo seluruh negara dan antarabangsa anjuran agensi kerajaan.

Buat masa ini produk IKS Siti Noraini dengan jenama Ani Biskut boleh didapati di K-Shoppe Bukit Kapar dan Jalan Istana Lama, Kampung Jawa, Kelang.

Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai produk IKS Siti Noraini boleh menghubungi beliau di 019-373 4735 atau 03-3148 1088 atau emel: ani_biskut@yahoo.com

No comments:

Post a Comment