Wednesday, 6 July 2011

Radioaktif dan Keselamatan Manusia

Radioaktif

Apabila mendengar perkataan "radioaktif", apa yang terlintas di fikiran bahawa ia adalah bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati atau disentuh. Ada mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau mengakibatkan seseorang terkena penyakit kanser.

Itu adalah persepsi umum masyarakat! Bukan itu sahaja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang pernah berlaku di dunia antaranya letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos 1945, kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April 1986 dan terkini peristiwa kebocoran radiasi di loji kuasa nuklear Fukushima, Jepun akibat gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu.

Peristiwa inilah yang menyebabkan masyarakat semakin gusar kerana beranggapan radioaktif adalah punca kehilangan nyawa, kerosakan harta-benda, pencemaran alam sekitar dan mendapat kanser.

Sedangkan pada hakikatnya dan tanpa disedari, radioaktif wujud secara semula jadi dan kita terdedah kepada sinarannya dalam kehidupan seharian. Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah-tanih dan batu- batan yang diduduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut mengambilnya melalui makanan dan minuman seperti di dalam buah- buahan serta sayur-sayuran.

Tubuh badan kita juga mempunyai bahan radioaktif semulajadi seperti potassium-40 (K-40). Data yang diperolehi daripada UNSCEAR 2000 (United Nation Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos setahun sinaran semula jadi di sekeliling kita adalah sebanyak 2.4 milliSievert (mSv).

Malah di dalam tanah-tanih di dunia mengandungi bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials - NORM) terutamanya kandungan uranium- 238 iaitu dalam julat 16 - 110 Becquerrel/ kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016 - 0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11 - 64 Bq/kg (bersamaan 0.011 - 0.064 Bq/ kg).

Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semulajadi ini adalah dalam julat 49 - 86 Bq/kg (bersamaan 0.049 - 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63 - 110 Bq/kg (bersamaan 0.063 - 0.1 Bq/g).

Isu LYNAS

Isu terkini yang melibatkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan adalah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn. Bhd. ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia. Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi.

Hasil pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudah alih serta kereta hibrid, tiub "cathode-rays" bagi monitor TV dan komputer, wayar "fibre-optic", aplikasi aeroangkasa sehingga ke magnet bagi penghasilan tenaga dari sumber angin.

Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30 peratus daripada bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi. Pertikaian masyarakat mengenai "residue" yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) yang dihasilkan.

Punca utama kebimbangan orang awam khususnya masyarakat Pahang adalah Lynas bercadang membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih itu akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng.

Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu menyebabkan wujudnya pertikaian ketelusan kerajaan dan agensi-agensi lain dalam menjamin keselamatan rakyat.

Malah, isu ini digembar-gemburkan oleh pihak yang sebenarnya bermotifkan politik. Orang awam diberi maklumat mengelirukan sehingga mereka berfikir bahawa pemprosesan nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di itu pada awal 1980-an akan berulang.

Tindakan Kerajaan serta Agensi terlibat

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar dalam keadaan baik dan terpelihara.

Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi-agensi bertanggungjawab yang terlibat antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas ini.

Sebenarnya dalam projek melibatkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi tetapi pemberian lesen operasi hanya diberi selepas Lynas mematuhi langkah serta syarat keselamatan yang dinyatakan dalam syarat lesen dan dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan dalam Akta 304 dan peraturan-peraturan subsidiarinya.

Malah, kerajaan menjemput panel pakar bebas antarabangsa yang tidak mempunyai kepentingan dengan projek Lynas ini bagi menjalankan kajian dari segi aspek kesihatan dan keselamatan. Ini membuktikan kerajaan Malaysia telus dalam proses membuat keputusannya.

Sejauh manakah tahap selamat yang diuar-uarkan itu adalah selamat?

Berdasarkan fakta serta analisis sampel-sampel yang dibuat oleh agensi-agensi bertanggungjawab, residue yang akan dihasilkan oleh projek Lynas adalah rendah iaitu 0.165 peratus torium [bersamaan dengan 1650 bahagian per juta [parts per million, (ppm)] iaitu bersamaan dengan 6.7 Becquerrel pergram[Bq/g] (atau 6500 Bq/kg).

Ia 60 kali lebih rendah berbanding projek ARE yang mengandungi 10 peratus torium iaitu 100,000 ppm (bersamaan dengan 406 Bq/g (atau 406,000 Bq/kg). Torium dalam residue Lynas, iaitu Water Leach Purification (WLP), menghasilkan dedahan sinaran 0.002 mSv/tahun yang jauh lebih rendah dengan dedahan yang sepatutnya terdedah kepada orang awam sebanyak 1 mSv/tahun.

Sehubungan itu, penduduk setempat khususnya berhampiran kilang itu tidak perlu risau kerana projek itu tidak meninggalkan kesan kesihatan kepada mereka.

Tahap dedahan dos sinaran untuk orang awam adalah 1 mSv/tahun atau 0.50 microSievert/jam (uSv/j). Berdasarkan pemantauan dan kajian, orang awam yang tinggal di sekitar kawasan projek Lynas antaranya seperti di Balok, Beserah, Sungai Ular dan Sungai Karang tidak perlu khuatir kerana anggaran dos dedahan yang bakal diterima adalah 0.002 mSv/tahun.

Malah, kajian yang dilaksanakan oleh badan bebas berkelayakan menunjukkan kadar dos dedahan maksimum yang dapat diukur di sekitar Kuantan ialah lebih 0.00012 milliSievert/jam sahaja (1000 microSievert > 1 milliSievert).

Kadar dos dedahan ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan dos dedahan sewaktu menjalani pemeriksaan CT Scan dan juga X-Ray di mana dos dedahan yang diterima sewaktu membuat CT Scan adalah 6.9 mSv/dedahan iaitu bersamaan 41.4 mSv/jam (data dari Japan Atomic Industry Forum, JAIF) manakala sinar-X untuk dada (chest X-ray) pula ialah 0.5 mSv/dedahan iaitu bersamaan dengan 18,000 mSv/jam (UNSCEAR, 2000).

Bukan itu sahaja, lantai marmar, cawan atau pinggan porselin yang kita guna, tanah yang anak-anak kita bermain, batu untuk membuat rumah dan pejabat mengandungi bahan-bahan yang mempunyai unsur radioaktif seperti torium, uranium dan lain-lain. Tetapi, unsur-unsur itu hanya menyumbang dos yang sangat rendah dan tidak mengancam kesihatan manusia.

Kegunaan Sinaran

Sinaran sebenarnya banyak digunakan dalam industri perubatan di mana sinar Gamma dari kobalt-60 untuk membunuh sel barah dalam rawatan radioterapi dan digunakan juga untuk membunuh kuman dalam proses pensterilan alat perubatan seperti termometer, jarum dan picagari, alat pembedahan dan sebagainya.

Sinaran radioaktif daripada radioisotop turut digunakan membunuh serangga perosak. Sinaran juga digunakan dalam sistem pengawalan ketebalan secara automatik dalam pembuatan kertas, kepingan plastik dan logam.

Dalam industri pembungkusan makanan dan minuman, teknologi sinaran dimanfaatkan bagi mengukur kandungan tepat dan pengesanan bendasing yang boleh memudaratkan kita. Imbasan sinar-x turut mampu mengesan sebarang ketidakseragaman pada susunan lilitan keluli radial di tayar kenderaan.

Di Malaysia, Lynas bukan satu-satunya yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral, antara syarikat lain menjalankannya ialah Petronas Cari Gali (M) Sdn. Bhd., TOR Mineral (M) Sdn. Bhd., Tioxide Hunstman (M) Sdn. Bhd. dan Samsung Corning (M) Sdn. Bhd.

Selain Malaysia, aktiviti pemprosesan nadir bumi dijalankan di Afrika, India, Kanada, Vietnam, China dan Brazil. Justeru, adalah tidak adil sinaran dikatakan mendatangkan bahaya sahaja. Hakikatnya ia membawa banyak faedah keterutamanya dalam rawatan dan diagnostik ke atas penyakit kanser.

RENCANA ini disediakan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

No comments:

Post a Comment