Wednesday, 8 June 2011

Penjagaan Kuda

PERKEMBANGAN dunia Islam di bawah pemerintahan Khalifah Omar telah membuka era baru dalam dunia kuda atau equestrian, yang mana banyak taktik baru dipelajari dalam peperangan berkuda.

Kuda atau Equus caballus ialah spesies daripada famili Equidae dan berada dalam kelas mamalia. Manusia mula menjinakkan kuda dan menjadikannya sebagai aset yang amat penting baik dalam peperangan, pertunjukan, sarkas, sukan, pertandingan dan sebagainya.


Perkembangan sukan berkuda di Malaysia semakin meningkat dalam banyak disiplin antaranya dressage, showjumping dan endurance.

Menunggang kuda juga boleh dijadikan sebagai terapi kepada penyakit artritis, sindrom down, autisme, sakit tulang belakang dan membantu mencerahkan penglihatan mata melalui rangsangan terhadap saraf cranium (tengkorak) semasa gerakan 'galloping' kuda serta bermacam lagi.

Terdapat beberapa baka kuda seperti Arab, Thoroughbred, Quarter Horse, Appaloosa dan Hunter. Sistem pengurusan kuda yang baik boleh menentukan status kesihatan kuda, keselesaan dan keupayaan kuda melakukan kerja.

Dalam memelihara kuda beberapa aspek penting mengenai pengurusan perlu diberi perhatian seperti stable, sarap, penjagaan kaki, latihan, peralatan kuda dan sebagainya.

Stable

Merupakan kandang kuda yang dibina dengan ciri-ciri keselamatan seperti permukaan lantai yang kasar, dinding dan pintu stabel yang kukuh, dan pengudaraan yang baik.

Saiz stabel yang sesuai adalah 3.0 m x 3.0 m (10' x 10') untuk kuda poni, 3.6 m x 3.0 m (12' x 10') untuk kuda sederhana besar dan 3.6 m x 3.6 m (12' x 12') untuk kuda besar dan stabel dibersihkan setiap hari.

Sarap (bedding)

Sarap (ketaman papan/jerami) perlu disediakan dalam stable dalam ketebalan enam inci untuk keselesaan, menyerap kelembapan dan urin, di samping mengelak kecederaan apabila duduk atau baring di dalam stabel.

Sarap mesti dibersihkan, digemburkan setiap hari dan perlu diganti sekali atau dua kali seminggu bergantung kepada keadaan sarap.

Merapi Kuda (grooming)

Perapian kuda sangat penting dalam menentukan tahap kesihatan serta kualiti kuda dan perlu dilakukan sekurang - kurangnya sekali sehari.

Perapian bertujuan untuk membersihkan badan dari kekotoran, mengelakkan jangkitan penyakit kulit, mengesan sebarang luka, bertindak sebagai urutan (massage) untuk melancarkan peredaran darah serta pergerakan otot.

Malah yang lebih penting ia mengeratkan hubungan antara manusia dengan kuda dan akan kelihatan lebih menarik dengan bulu yang berkilat apabila didandan setiap hari.

Memandikan kuda

Kuda perlu dimandikan apabila setiap kali selepas latihan atau ketika cuaca yang panas dan jika keadaan kuda yang kotor.

Penjagaan kaki dan kuku

Kaki kuda memainkan peranan penting kerana kekuatan seekor kuda bergantung pada kakinya justeru sebarang kecederaan perlu dielakkan.

Tapak kaki hendaklah dibersihkan dengan hoof pick manakala kuku kuda perlu disapu minyak kuku (hoof oil) setiap hari iaitu sebelum menunggang dan selepas atau setiap kali selepas kuda dimandikan bagi mengelakkan kuku kering dan merekah.

Ladam pula perlu ditukar setiap enam minggu atau sebulan sekali untuk memastikan kedudukan kuku kuda itu betul dan menghindar dari tumbuh panjang dan tidak seimbang sekali gus menjejaskan pergerakan kuda.

Latihan
 
Kuda perlu dilatih seperti lungeing, gallop dan canter sekurang - kurang enam hari dalam seminggu. Latihan perlu bagi memastikan kuda berada dalam keadaan bersedia bagi tugas tertentu dan tidak terkejut untuk melakukan sesuatu tugas selain melancarkan darah serta mengurangkan risiko penyakit.

Teknik latihan kuda adalah berbeza mengikut fungsi atau kegunaan kuda seperti latihan asas menunggang, show jumping, dressage, endurance, lumba, polo dan sebagainya.

Peralatan kuda

Peralatan kuda seperti saddle, bridle, stirrups, girths, numnah, topi dan peralatan menunggang yang lain perlu disimpan di tempat yang sejuk dan kering juga dibersihkan setiap kali selepas digunakan dan seminggu sekali di sapu leather oil bagi mengelakkan kekeringan.

Makanan Kuda

Makanan asas kuda terdiri dari chaff, bran, Pelet kuda (horse cube), hay dan PKE (palm kernel extract) bagi kuda yang tidak menjalankan latihan. Manakala makanan tambahan terdiri dari elektrolit dan blok garam mineral.

Rumput segar yang sesuai ialah rumput kerbau dan rumput gajah. Makanan diperlukan sebanyak 2.5 peratus daripada berat badan kuda sehari.

Pembiakan

Dalam membiakkan kuda, pemilihan baka adalah sangat penting bagi mendapatkan progeni yang berprestasi tinggi dari segi konformasi yang baik, kekuatan fizikal dan daya ketahanan pada penyakit.

Pembiakan kuda tidak bermusim dan tempoh bunting adalah antara 300 hingga 365 hari. Pembiakan boleh dijalankan secara pengawanan semulajadi atau pemanian beradas.

Keselamatan pengendalian kuda

Kuda adalah haiwan yang mempunyai kebolehan merasai dan akan memberi respons terhadap perasaan takut penunggang.

Jika penunggang takut atau tertekan, kuda akan lebih rasa takut yang menyebabkan kuda tertekan dan mengambil peluang berkelakuan tidak baik.

Sehubungan itu, penunggang perlu tenang. Dalam hal ini, penunggang bukan semata-mata mendominasi kuda tetapi ia lebih kepada perkongsian dan saling mempercayai. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu diambil kira semasa mendekati, menangkap dan menambat kuda :

  • Perlu berkeyakinan dan dalam keadaan yang tenang (tanpa rasa takut).
  • Mendekati kuda secara perlahan-lahan dan beransur-ansur bermula dari bahagian hadapan kuda (muka dan kemudian sisi kiri di bahagian bahu kuda).
  • Berinteraksi dengan kuda dengan memanggil namanya atau sama ada boy (jantan) atau girl (betina).
  • Usap dan gosok bahagian leher kuda sambil berinteraksi dengannya.
  • Gunakan kolar kepala (headcollar) untuk menangkap kuda dan pengendali harus berada sebelah kiri kuda semasa pemasangan dilakukan.
Kesihatan dan penyakit

Kuda merupakan haiwan yang mahal, justeru itu kematian kuda akan mengakibatkan kerugian berpuluh ribu ringgit.

 
Antara masalah kesihatan dan penyakit yang perlu dikawal adalah kolik iaitu kegagalan membuang air besar yang boleh menyebabkan kematian.

Simptom masalah ini adalah kuda tiada selera makan, mengais, menendang, menggigit perut, berpeluh dan restless.


Rawatan : peringkat awal memimpin kuda supaya sentiasa berjalan dan menggalakkan kuda meragut rumput segar bagi merangsang pengeluaran tinja.

Jika tidak beri suntikan Flunixin atau Cobaphos, Stress Vit, dan memasukkan Liquid parafin dan Fluids ke dalam badan kuda.

Tempang juga merupakan masalah kesihatan di bahagian kaki kuda, pergerakan kuda yang tidak selesa kesan daripada rasa sakit boleh dirawat dengan memberi Butalone granules, suntikan Flunixin dan rehatkan kuda sehingga sihat.

Kurap boleh dikesan apabila kuda menggigit kulit dan menggaru pada dinding stabel. Rawatan : Mandikan kuda menggunakan campuran hibiscrub dan povidone iodine, sapukan krim topikal seperti beavate dan beri antihistamine.


* Petikan dari Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment