Tuesday, 7 June 2011

Madu Tualang

SEJAK turun temurun manusia mengetahui bahawa madu merupakan antara penawar terbaik bagi pelbagai jenis penyakit, malah kehebatan madu turut dinyatakan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran dan melalui Rasulnya, Nabi Muhammad S.A.W.

Di Malaysia terdapat pelbagai jenis madu bergantung kepada jenis lebah dan tempat ia membiak sama ada bersarang atau dipelihara. Antara madu lebah yang begitu terkenal di negara ini adalah madu lebah tualang.

Ia dinamakan sedemikian kerana lebah tersebut bersarang di pohon tualang atau nama saintifiknya Koompassia excelsa. Ketinggian pokok tualang biasanya melebihi pohon-pohon lain di dalam hutan.

Pokok Tualang

Lebah memilih pohon tersebut untuk bersarang pastinya atas tujuan keselamatan. Namun sebab sebenar ia amat meminati pohon tersebut tidak diketahui sehingga kini.

Di Kedah, antara agensi kerajaan yang menjalankan proses pengumpulan dan pemasaran madu tualang secara besar-besaran adalah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Menurut Pegawai Penyelidik FAMA Daerah Padang Terap, Kedah, Azmi Ishak, beliau membeli madu yang diambil oleh pengumpul madu tempatan.

"Dahulu pengumpul madu menjual madu secara kecil-kecilan malah madu diletakkan dalam botol kaca dan dijaja ditepi-tepi jalan. "Jadi bagi membantu golongan tersebut memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan kami di pihak FAMA tampil membantu," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada peringkat awal produk madu lebah yang dihasilkan adalah sebagai produk percubaan untuk menembusi ruang pasaran bagi membantu pengumpul madu di sekitar daerah Padang Terap, Sik dan Baling.

Namun kini produk tersebut semakin mendapat tempat di kalangan pengguna dan permintaan terhadapnya semakin meningkat. Oleh yang demikian pengumpul tidak lagi perlu bersusah payah menjaja madu mereka. Malah, ia boleh terus dijual kepada pusat pengumpulan madu lebah FAMA.

Di sini, madu yang telah dikumpulkan oleh pengumpul tempatan dapat dijual pada kadar harga yang lebih tinggi berbanding dijaja di tepi jalan. Malah, madu lebah yang dikumpulkan juga akan diproses bagi tujuan penambahbaikan dan cara pembungkusannya juga adalah lebih baik.

Produk madu FAMA lebih dikenali sebagai Madu Lebah AgroMas, memperolehi sumbernya dari kawasan hutan Tasik Pedu di daerah Padang Terap, hutan Tasik Ulu Muda di daerah Sik dan kawasan hutan di daerah Baling dan Gunung Jerai.

Lebah hutan atau dikenali sebagai Apis Dosata merupakan penghasil utama madu di kawasan tersebut. Bagi setiap pohon tualang terdapat hampir 30 hingga 80 sarang lebah. Aktiviti pengumpulan madu lebah paling aktif adalah di kawasan hutan Tasik Pedu dan Tasik Ulu Muda.

Di sana, terdapat hampir 100 orang pengumpul madu lebah yang beroperasi secara tradisional iaitu dengan cara memanjat pohon tualang untuk mengambil madu. Pengumpul madu ini juga biasanya bergerak dalam kumpulan seramai lima hingga 10 orang yang biasanya di anggotai oleh ahli keluarga sendiri.

Aktiviti mengambil madu

Malah, pohon tualang yang memiliki sarang lebah itu juga dimiliki kumpulan tertentu dan kebanyakannya diwarisi daripada ahli keluarga terdahulu yang turut melakukan pekerjaan mengumpul madu.

Kebanyakan pengumpul madu ini menjalankan aktiviti tersebut sebagai pekerjaan sampingan dan aktif mengumpul madu pada bulan Disember sehingga Mei. Dipercayai dalam jangka masa tersebut adalah musim bunga bagi pohon-pohon di hutan di sekitar Kedah dan Pahang.

Walaupun pekerjaan mengumpul madu mengundang risiko yang berbahaya, namun hasil yang diperolehi agak lumayan menyebabkan pengumpul sanggup melakukannya.

Kebiasaannya pengumpul madu akan menyediakan peralatan seperti jamung daripada akar kayu, bekas menadah madu serta beberapa lagi alatan semasa proses mengambil madu dilakukan.

Menurut petua mereka, pengumpulan madu akan dilakukan pada waktu malam ketika bulan gelap mengikut kiraan kalendar Islam iaitu pada 23 haribulan sehingga 7 haribulan pada setiap (Disember hingga Mei) tahun.

Bagi FAMA yang bertindak sebagai orang tengah, mereka juga turut menyediakan beberapa peralatan bertujuan memudahkan proses penambahbaikan dan pembungkusan.

Malah di pusat tersebut, FAMA turut menyediakan khidmat ujian ketulenan madu untuk pihak yang memerlukan khidmat tersebut. Pusat itu juga bertindak seperti pusat sehenti bagi produk madu tualang dan menjalankan aktiviti bermula daripada proses penelitian ketulenan madu, pembelian, pemprosesan, pembungkusan dan akhirnya pemasaran.

Madu lebah asli biasanya akan melalui kerja pembersihan dan penapisan sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas bagi tujuan penyejatan peratusan air dalam madu.

Menurut Azmi, proses penyejatan air tersebut memakan masa lapan hingga 16 jam dan mampu mengurangkan satu hingga dua peratus kandungan air.

"Madu yang telah siap diproses kemudiannya akan melalui proses penapisan dan pembersihan kali kedua sebelum dibotolkan. "Setelah itu, ia akan dibungkus di rumah pembungkusan sebelum dipasarkan," jelasnya.

Produk madu lebah tualang ini bukan sahaja mendapat permintaan yang tinggi dari dalam negara malah ia turut menembusi pasaran luar negara.

Berikutan pembungkusan madu tualang ini yang kini semakin cantik, produk ini juga turut dijadikan sebagai hadiah oleh pembesar negara kepada pembesar negara luar yang datang mengunjungi Malaysia.

*Petikan dari Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment