Thursday, 30 June 2011

Berbasikal ke Pejabat

Berbasikal salah satu riadah yang baik untuk kesihatan.

Kerajaan Negeri Melaka akan melancarkan program Jom Berbasikal ke Pejabat sebagai satu usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar dan juga merealisasikan matlamat Negeri Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, beliau akan mengetuai barisan Exco kerajaan negeri menunggang basikal ke pejabat pentadbiran di Seri Negeri Jumaat ini.

"Mulai Jumaat ini saya akan menunggang basikal dari rumah di Seri Bendahara ke pejabat dan ini akan turut disertai oleh Exco kerajaan negeri yang lain.

"Tujuan program ini diadakan adalah sebagai langkah permulaan bagi menggalakkan kakitangan kerajaan dan orang ramai menggunakan basikal ke tempat kerja masing-masing," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Sebagai langkah menggalakkan orang ramai menggunakan basikal kata Mohd. Ali, kerajaan negeri akan membina laluan basikal pergi dan balik dari Seri Negeri hingga ke Kampung Tun Razak dekat sini.

Katanya, jalan seluas 5 kaki itu akan mula dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mulai esok. "Ini adalah laluan basikal pertama kita bina bagi memudahkan kepada orang ramai yang berminat menunggang basikal untuk pergi ke pejabat," katanya.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga bercadang untuk meluaskan pembinaan laluan basikal di beberapa kawasan utama di bandar raya ini yang akan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Dalam pada itu beliau menambah, program berbasikal akan diperkenalkan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dilancarkan pada 7 Julai ini.

Ujarnya, program itu menetapkan setiap Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) di negeri ini menganjurkan program berbasikal serentak pada pukul 7 pagi.

No comments:

Post a Comment